[VIDEO] Syamsul Debat Nafi Terlibat Skandal Isteri Orang

PENDAKWAH bebas popular, Syamsul Amri Ismail atau lebih dikenali dengan nama Syamsul Debat tampil menafikan spekulasi liar mengaitkan namanya dengan laporan polis yang mengatakan dia ada skandal dengan isteri orang.

Susulan itu, Syamsul juga menggesa pihak media yang mengeluarkan laporan yang menggunakan gambar dan mengaitkan namanya dengan kes tersebut supaya membuat permohonan maaf dengan segera.

Jelasnya, dia berasa terkilan dengan tuduhan berkenaan dan sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang kerana telah mengaibkan dia dan keluarganya.

SYAMSUL DEBAT BERSAMA PEGUAMNYA DALAM SATU SIDANG MEDIA KHAS DI SEREMBAN, NEGERI SEMBILAN HARI INI.

“Saya menafikan tuduhan-tuduhan terhadap saya berdasarkan laporan-laporan yang dibuat di dalam akhbar, yang membawa kesan kepada nama saya, keluarga dan ibu bapa saya.

“Saya juga sedang mempertimbangkan mengambil tindakan susulan dari segi undang-undang terutamanya kepada pihak media yang telah mengeluarkan kenyataan yang pada saya agar seolah-olah saya dituduh di mahkamah.

“Sedangkan perkara ini baru sahaja didengar-dengar, baru dicakap-cakap seolah-olah diletakkan saya orangnya,”jelasnya dalam satu sidang media khas di Seremban, Negeri Sembilan hari ini.

Semalam, akhbar-akhbar tempatan melaporkan mengenai kenyataan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin yang memaklumkan bahawa pihak polis menerima laporan mengenai kes tersebut daripada pengadu di sebuah balai polis di Johor baru-baru ini.

Namun, tindakan beberapa pihak media yang menggunakan nama dan juga gambarnya dalam laporan mengenai skandal berkenaan dirasakannya sebagai tidak beretika dan mengelirukan pembaca.

Menurut laporan itu, penceramah berusia 41 tahun itu disiasat di bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan kerana memikat wanita yang sudah berkahwin dengan niat jenayah.

Mengulas mengenai skandal tersebut, Syamsul berkata dia sama sekali tidak tahu siapa yang membuat pertuduhan itu dan menafikan dia mempunyai hubungan dengan isteri orang.

“Tidak tahu siapa yang buat laporan, kalau ada tuduhan itu melibatkan isteri orang, saya menafikan. Saya kena bersihkan (tuduhan ini) kerana agak menyedihkan sebab ia melibatkan nama saya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Syamsul berkata buat masa ini, pihak polis masih belum berhubung dengannya, namun sekiranya diperlukan, dia akan memberikan sepenuh kerjasama kepada polis berhubung isu itu.

Jelasnya, dia pada mulanya tidak mahu memberikan kenyataan mengenai kes tersebut namun terpaksa berbuat demikian selepas nama, biodata dan gambarnya digunakan dalam laporan oleh beberapa pihak media.

Kata Syamsul, dia baharu sahaja pulang dari Tanah Suci Makkah semalam selepas menunaikan Umrah dan menyampaikan ceramah kepada jemaah-jemaah Malaysia yang berada di sana.

Malam ini, dia akan ke Kuala Terengganu bagi menghadiri ceramah majlis ‘Negeriku Berselawat’ dan ‘Doa Kami Untuk Palestin’ malam ini yang akan disiarkan secara langsung di TV AlHijrah.

Sumber:MYNEWSHUB.CC/EZ via keramatviral


Apa Kata Anda