Sentuhan seni batang aiskrim

Jertih: Sekali pandang, ia saling tak tumpah seperti rumah nelayan di pinggir pantai lengkap dengan peralatan memukat ikan serta susunan kotak kayu tempat menyimpan hasil tangkapan.

Namun ia sebenarnya hanyalah diorama mini atau seni kraf rumah mini nelayan yang dihasilkan menggunakan 100 batang aiskrim terpakai dan dibeli di kedai RM2.

Uniknya, rumah kecil itu turut dilengkapi suasana persekitaran asal di kampung nelayan sekitar 1990-an seperti bilik mandi dan tandas di luar rumah.

Kreativiti dan kraf tangan berseni halus itu dihasilkan Mohd Ihsan Mohd Saidi, 32, yang juga kakitangan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Terengganu.

Katanya, idea menghasilkan hasil seni itu timbul secara spontan kerana tuntutan tugas sehariannya sering bergaul dengan masyarakat nelayan.

MOHD Ihsan menggunting lidi batang aiskrim sebelum menghasilkan karyanya.

“Masa yang diambil untuk menghasilkan rumah mini ini tidak lama iaitu kira-kira tiga hari saja sekiranya semua peralatan mencukupi.

“Selalunya saya memperuntukkan tiga jam setiap hari selepas Isyak untuk menumpukan sepenuhnya kepada hobi membuat rumah ini kerana siang hari terikat kepada komitmen kerja,” katanya yang ditemui di bandar Jertih.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, sebelum membina model rumah berkenaan, dia merendam batang aiskrim di dalam air selama dua malam dengan dimasukkan warna mengikut kesesuaian untuk menampakkan keadaan seperti sudah usang.

“Seperti rumah nelayan yang asal warna dinding selalunya lebih gelap dan nampak uzur, saya akan pilih warna seakan-akan sama bagi menampakkan karya seni ini lebih hidup.

“Saya tidak terlalu serius kerana sibuk dengan tuntutan kerja. Saya sempat menghasilkan 15 hasil seni termasuk suasana di bengkel kimpalan, suasana di tanah perkuburan, rumah tradisional Melayu manakala masjid ilham daripada Masjid Kayu Seberang Jertih atau dikenali Masjid Ulul Albab serta beberapa koleksi lagi.

“Tetapi kebanyakan semua koleksi itu sudah dijual kepada peminat seni diorama dengan harga antara RM250 hingga RM280,” katanya.

 

Sumber : hmetro


Apa Kata Anda