‘Neraka’ 25 hari [METROTV]

Kuala Lumpur: “Sepanjang 25 hari, penempatan kami dibom dan dibedil tanpa henti menggunakan roket dan senjata berat.

“Kami tiada pilihan selain berlindung di dalam kubu bawah tanah atau di celah-celah runtuhan bangunan untuk ikhtiar selamatkan nyawa. Meskipun rumah kami sudah hancur, kami berazam untuk pulang semula ke sana, Insya-Allah.”

Demikian azam seorang pelarian Syria yang juga lelaki berusia 60-an dari timur Ghouta yang baru tiba di Idlib, utara Syria ketika ditemu bual Muhammad Khatib yang juga wakil Muslim Care berpangkalan di Reyhanli, bandar sempadan Turki-Syria.

SEORANG lelaki menceritakan kehidupan penduduk Ghouta sepanjang 25 hari wilayah itu dihujani bom oleh rejim tentera Bashar ketika dia selamat tiba di Idlib, kelmarin. FOTO Ihsan Muslim Care

Lelaki separuh abad itu antara lebih 1,000 penduduk dari timur Ghouta yang lari ke sempadan Turki akibat penempatan mereka dibom rejim tentera Presiden Bashar al-Assad.

Muhammad berkata, jumlah pelarian yang baru tiba di Idlib, kelmarin, membabitkan 300 kanak-kanak, 400 wanita dan selebihnya lelaki.

KANAK-KANAK Syria dipindahkan dari Timur Ghouta ke kampung Qalaat al-Madiq. FOTO AFP

“Ada antara pelarian itu sudah hampir kebuluran sebab tidak menjamah sebarang makanan sepanjang dua hari perjalanan menaiki bas dari Ghouta ke Idlib.

“Muslim Care menyediakan keperluan makanan, tempat tinggal sementara dan pengangkutan bas untuk pelarian itu.

“Selain itu, khemah untuk pelarian juga disediakan pertubuhan bukan kerajaan tempatan dan antarabangsa yang lain di wilayah utara Syria bersempadan dengan Turki,” katanya.

SEORANG doktor memeriksa kesihatan anak Syria yang dipindahkan dari Timur Ghouta sebaik tiba di Kampung Qalaat al-Madiq. FOTO AFP

Beliau berkata demikian ketika menghantar maklumat situasi terkini itu kepada Pengarah Pendidikan dan Misi Kemanusiaan Syria Muslim Care, Nazmi Abdul Karim yang kemudian menyalurkannya kepada Harian Metro, semalam.

Sementara itu, Nazmi berkata, pihaknya sudah menghantar bantuan ke Ghouta membabitkan jumlah sumbangan rakyat Malaysia sebanyak RM450,000 yang mana RM100,000 daripadanya diagihkan sebagai perbelanjaan sekolah pelarian kendalian Muslim Care.

PEJUANG pemberontak Syria dan sukarelawan Violet NGO membantu seorang lelaki yang cedera. FOTO AFP

Orang ramai boleh terus menyumbang menerusi Kutipan Dana Kecemasan ke Ghouta menerusi akaun Muslim Care di nombor akaun 564490413882 (Maybank), 1401401014740 (Bank Islam) atau 14010007654717 (Bank Muamalat).

PEJUANG pemberontak Syria duduk dengan kaki dibalut dan bertongkat setibanya di Kampung Qalaat al-Madiq. FOTO AFP
 
 
Sumber : hmetro
Apa Kata Anda