Apakh Hukum Andartu Bertemu Bomoh Untuk Mendapatkan Jodoh?

Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Saya ini andartu (anak dara tua) sudah berumur mencecah 40 tahun lebih.Namun belum juga mendapat jodoh sehingga sekarang. Ibu saya menjadi risau kerana sudah berumur 40 tahun lebih tetapi tiada suami. Ibu saya ambil keputusan untuk bertemu dengan bomoh dengan tujuan membuang sial yang ada pada saya. Apa betul tindakan ibu saya itu?

Jawapan :

Waalaikumussalam. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Satu perkara yang perlu kita ketahui, bahawa apabila kita merancang sesungguhnya Allah sebaik-baik Perancang.Segala apa yang melibatkan jodoh,rezeki, kematian dan lain-lain telah ditentukan oleh Allah swt. Ini berdasarkan kepada sabda Nabi saw daripada Abdullah Bin Mas’ud :

إِنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمعُ خَلْقُهُ فِي بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا ثُمَّ يَكُونُ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ ثُمَّ يَكُونُ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ ثُمَّ يَبْعَثُ اللهُ مَلَكًا فَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ، وَيُقَالُ لَهُ: اكْتُبْ عَمَلَهُ وَرِزْقَهُ وَأَجَلَهُ وَشَقِيٌّ أَوْ سَعِيدٌ…. إلخ

Maksudnya :” Sesungguhnya setiap dari kalian akan dihimpunkan kejadiannya di dalam perut ibunya selama 40 hari kemudian menjadi segumpal darah dalam tempoh yang sama. Kemudian menjadi segumpal daging dalam tempoh yang sama. Kemudian Allah mengutuskan malaikat dan diperintahkan (malaikat tersebut) dengan empat kalimat. Dikatakan kepada malaikat : tuliskan amalannya, rezekinya, ajalnya, adakah dia bahagia atau derita..”

Riwayat al-Bukhari ( 3208)

Perbuatan ibu saudari yang pergi menemui bomoh semata-mata untuk membuang sial bagi memudahkan mendapat jodoh adalah salah sama sekali. Perkara ini telah dijelaskan oleh Nabi saw yang diriwayatkan oleh Safiah daripada beberapa isteri Nabi saw. Sabda Baginda :

مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَىْءٍ لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلاَةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً

Maksudnya :” Sesiapa yang pergi berjumpa tukang tilik lalu dia meminta kepadanya sesuatu, maka solatnya tidak diterima selama 40 malam.”

Riwayat Muslim (5957)

Imam al-Nawawi menyatakan maksud tidak diterima solatnya adalah solat yang dilakukan tidak mendapatkan pahala.

Rujuk Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim (14/227)

Di dalam riwayat yang lain, Nabi saw menyebut :

مَنْ أَتَى كَاهِنًا، أَوْ عَرَّافًا فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ صَلى الله عَليه وسَلم

Maksudnya :” Sesiapa yang datang berjumpa dengan dukun atau tukang tilik lalu dia membenarkan apa yang dikatakan olehnya. Sesungguhnya dia telah mengingkari dengan apa yang telah diturunkan kepada Muhammad SAW.”

Riwayat Ahmad (9667)

Jelas di dalam hadis tersebut ancaman yang diberikan oleh Nabi saw bagi sesiapa yang berjumpa dengan bomoh, dukun atau yang semisal dengannya. Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani ketika memberikan komentarnya berkenaan hadis ini beliau mengatakan :

“Lafaz-lafaz ini jelas menunjukkan ancaman (bagi yang datang berjumpa dengan dukun dan sebagainya).”

Rujuk Fath al-Bari (3/364)

Menerusi hadis-hadis ini, maka kami nasihatkan agar jangan pergi berjumpa dengan dukun atau bomoh atau apa sahaja yang semisal dengannya. Mereka tidak terlepas dari menggunakan sihir. Ketahuilah bahawa dosanya sungguh besar. Ini telah dinyatakan oleh Nabi saw dalam satu riwayat sabda Nabi saw :

اجْتَنِبُوا السَّبْعَ المُوبِقَاتِ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ؟ قَالَ: الشِّرْكُ بِاللَّهِ، وَالسِّحْرُ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالحَقِّ، وَأَكْلُ الرِّبَا، وَأَكْلُ مَالِ اليَتِيمِ، وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ، وَقَذْفُ المُحْصَنَاتِ المُؤْمِنَاتِ الغَافِلاَتِ

Maksudnya :”Jauhilah tujuh jenis dosa besar yang membinasakan. Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah dosa-dosa itu? Sabda Baginda: Menyekutukan Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan melainkan dengan alasan yang benar, makan riba, makan harta anak yatim, lari daripada perang dan menuduh wanita muhsan beriman yang tidak bersalah dengan tuduhan zina.”

Riwayat al-Bukhari (2766)

Selain daripada itu, tiada konsep sial di dalam Islam. Sabda Nabi SAW :

لا عَدْوَى وَلاَ طِيرَةَ ولا صَفَرَ وَلاَ هَامَّةَ

Maksudnya :” Tidak ada penyaki yang berjangkit,tidak ada kepercayaan bahawa haiwan memberi manfaat dan mudarat, tidak ada kesialan dalam bulan safar dan tidak ada juga kepercayaan datangnya malapetaka disebabkan burung hantu.”

Riwayat al-Bukhari (5770), Muslim(2220), Abu Daud (3913) di dalam al-Sunan & Ahmad(3031) di dalam Musnad.

Bergantunglah hanya kepada Allah SWT. Sentiasalah berdoa, mengharap, memohon dan bermunajat hanya kepada Allah SWT. Mintalah hanya kepada Allah. Jangan pergi kepada selain Allah SWT apatahlagi jika yang ditemui adalah tukang tilik,dukun, bomoh atau apa sahaja namanya.

Persoalan berkenaan bomoh dan sebagainya telah kami jelaskan di dalam beberapa ruangan antaranya :

  1. Bayan Linnas siri ke 87[1]
  2. Irsyad al-fatwa siri ke 249[2]
  3. Irsyad al-Fatwa siri ke 189[3]

Sebagai seorang mukmin, kita digalakkan untuk berdoa kepada Allah.Firman Allah SWT :

وَقَالَ رَبُّكُمُ ٱدْعُونِىٓ أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya :” Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu….”

(Surah Ghafir :60)

Sheikh Dr Wahbah al-Zuhaili berkata :

“Doa adalah ibadah. Doa ialah mohon agar diberi manfaat dan dijauhkan daripada perkara yang buruk. Doa kepada selain dari Allah tidak langsung mendatangkan faedah. Yang mampu jawab hanyalah Allah dan Allah memerintahkan untuk berdoa serta berjanji untuk tunaikannya. Janji Allah adalah benar.”

Rujuk al-Tafsir al-Munir (24/150)

Jangan pernah meremehkan kuasa doa. Lihat sahaja doa Nabi Musa ketika Baginda berdoa yang mana ianya dirakamkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran :

فَقَالَ رَبِّ إِنِّى لِمَآ أَنزَلْتَ إِلَىَّ مِنْ خَيْرٍ فَقِيرٌ

Maksudnya :” ..lalu berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan”.

(Surah al-Qasas : 24)

Bukan sahaja diberi ganjaran atas pertolongan yang dihulurkannya bahkan ditawarkan oleh seorang lelaki untuk berkahwin dengan salah satu anak gadisnya. Teruskan berdoa dan bermunajat. Di samping berusaha mencari.

Selain itu, kami nasihatkan agar jangan terlalu memilih. Jika sudah bertemu dengan lelaki yang soleh, bertanggungjawab dan mampu memikul bebanan maka lakukan istikharah agar diberi petunjuk yang terbaik. Sabda Nabi saw :

إِذَا خَطَبَ إِلَيْكُمْ مَنْ تَرْضَوْنَ دِينَهُ وَخُلُقَهُ فَزَوِّجُوهُ إِلَّا تَفْعَلُوا تَكُنْ فِتْنَةٌ فِي الْأَرْضِ وَفَسَادٌ عَرِيضٌ

Maksudnya :” Jika ada yang meminang dan kalian redha dengan agama dan akhlaknya maka kahwinkanlah. Jika kalian tidak berbuat demikian akan terjadi fitnah di bumi dan keburukan akan meluas.”

Riwayat al-Tirmizi (1004)

Semoga Allah memberikan yang terbaik kepada saudari. Wallahu’alam.

 

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @SoyaLemon

 

Sumber: mufti

SoyaLemon.ORG

Apa Kata Anda

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*